Air Mata Hatinya 2
Saturday, 19 January 2013, ϟ


بِسْــــــــــــــمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْـــــمِ


pernahkahh kauuu merasa .. jarak antara kitaaa ..
kini semakin terasaaa .. setelah kau kenal diaaa ..
aku tiada percayaaa .. teganya kau putuskannn ..
indahnya cinta kitaaa .. yang tak ingin ku akhiriiii ..
kauuu .. pergi .. tinggal .. kan ku ..

tak pernah kau sadari aku lah yang kau sakiti.
engkau pergi dengan janjimu yang telah kau ingkari.
oh tuhan tolonglah aku hapuskan rasa cintaku.
aku pun ingin bahagia walau tak bersama diaaaa ..


         Di suatu sudut kamar yang suasananya agak suram. Suasana sunyi sepi seketika di bilik itu dan hanya kedengaran esakkan kecil dari bibir beriringan dengan linangan mutiara-mutiara jernih membasahi pipi mulus. Aku masih setia memeluk tubuh di balkoni rumah. Aku menarik nafas sedalamnya sambil mendepakan tangan. 

        Angin yang bertiup petang itu menerjah pohon-pohon yang sedang berganti daun. Daun-daun yang kering kelihatan berguguran setiap kali ditiup angin. Keheningan petang dengan tiupan angin yang sepoi-sepoi bahasa sungguh mendamaikan. Sesekali kicauan burung yang berebut pasangan kedengaran di sebalik rimbunan dahan pohon yang meliang-liuk ditiup angin. 

         Fikiranku buntu dan mula diterjah dengan pelbagai soalan yang tidak terjawab. Aku cuba memejamkan mata untuk menghentikan apa yang terlakar diminda namun semakin lama ia cuba dilupakan, semakin kerap pula tertayang perkara itu.

        "Nizam..." laungku di dalam hati sambil memerhatikan alam. Langit seperti mahu bertukar wajah. Awan kelabu berarak berat. 

        Suasana alam bagaikan disumpah menjadi muram. Dari langit kelabu menitis butir-butir air ringan. Di antara butir-butir air itu, melayang jurai-jurai halus menabiri ruang petang yang sunyi sepi. Segala-galanya hilang seri. Segala-galanya hilang punca. Yang ada hanyalah keriuhan hujan menyimbah bumi. Megah menguasai alam.  

       Di balkoni itu, aku melihat keganasan hujan. Rakus menyimbah bumi, hanyalah untuk menyegarkan kembali alam yang sekian lama terkurung dengan debu dan kehangatan. Itulah aliran alam. Sedari tadi aku menghela nafas panjang. Saat itu dirasakan seolah-olah alam juga turut mengerti perasaanku. Mengerti hatiku.

       Air mata yang semakin galak menuruni pipi tidak ku endahkan. Hatiku hancur. Pedih dan pilu bergabung menjadi satu, menguasai relung hati.

        Aku sudah letih dengan semua ini. Di mana pengakhirannya? Mengapa begitu lama perkara ini mahu berakhir? Aku dah tidak kuat lagi untuk menunggu titik noktahnya. Aku cuma perempuan biasa. Insan yang lemah. Mengapa ianya terjadi padaku? Ya Allah Ya Rabb, begitu hebatnya ujian yang Engkau berikan padaku ini. Aku sudah tidak kuat lagi untuk mengharungi ujianMu yang satu ini. Sungguh. Tiupkanlah sedikit kekuatan ke dalam diri hambaMu yang lemah ini.

        Setiap waktu aku menanyakan soalan yang sama dan tetap juga tiada jawapannya. Aku menangis di dalam setiap sujudku. Mengemis meminta sedikit kekuatan dari Yang Esa. Itulah aku. Seorang insan yang lemah dan hina...


         Aku tak kuat. 


         Tak kuat.


        Mengapa perasaan ini muncul lagi? Mengapa ia mesti muncul kembali? Setelah sekian lama aku mencuba, mencuba dan terus mencuba. Mencuba untuk membuang perasaan ini jauh-jauh dari diriku. Tetapi, tetap juga usahaku selama ini tidak membuahkan hasil seperti yang aku impikan. Aku buntu. Apa lagi yang perlu aku lakukan agar perasaan ini hilang dan tak akan pernah kembali.

        Azan berkumandang merdu daripada Masjid Taman Air Biru menandakan sudah masuk waktu solat asar. Petang ini, suara bilal berkumandang segar seperti biasa dan tepat waktunya. Walaupun bilal itu sudah lewat usianya, namun tetap setia menjalankan tugas mengingatkan penduduk taman waktu solat.

        Selesai sahaja membaca doa selepas azan, kaki terus ku aturkan menuju ke bilik wudhu'. Aku perlu tenangkan kembali hati dan jiwa ini. Dan aku tahu ubat penenangnya adalah dengan menunaikan solat. Luahkan segala-galanya pada Yang Esa kerana Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik buatku, hamba yang menagih kasih dariNya.

         "Ya Allah Ya Tuhanku, berilah aku kekuatan agar aku mampu mengharungi ujian dariMu. Sesungguhnya, aku hanyalah perempuan lemah yang hatinya begitu lembut. Yang mampu terasa walau dengan perkara sebesar zarah sekalipun. Buangkanlah perasaan ini jauh-jauh dari diriku jika dia bukan untukku. Akan tetapi, jika dia memang sudah ditakdirkan untukku, janganlah aku terlalu ikutkan perasaan ini agar aku sentiasa menjaga batas-batas yang sudah ditetapkan olehMu. 

          Ya Allah. Peluklah hati ini di saat ku mulai gelisah dalam penantian penuh kesabaran ini, terkadang hatiku merasa rindu pada dia insan yang ku cintai dalam diamku. Ya Rabb. Biarlah ku simpul dalam setiap doa-doa dalam istikharahku kepadaMu rasa ini agar kelak Engkau satukan hatinya dan hatiku yang akan bertaut, bertahta dan bersemi indah kerana redhaM. Ya Rabb. Tuntunlah hati hamba agar hanya mahu menerima cinta seorang insan yang benar-benar pilihanMu bukan semata-mata pilihan nafsuku. 

         Ya Rabb. Bila dia memang baik untukku, agamaku, masa depan dunia dan akhiratku, mampu membimbing dan membawa kami lebih dekat kepadaMu, maka dekatkanlah diriku dengannya dan satukanlah kami dalam pernikahan yang sakinah, mawaddah, warrahmah. Engkaulah Maha membolak-balikkan hatiku, maka aku titipkan rasa ini, aku serahkan semuanya kepadaMU, kerana semua ini adalah milikMu. Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim. Perkenankanlah doaku ini. Amin Ya Rabbal A’lamin.."

          Nizam... 


          Nizam..... 


          Nizam........


          Suasana hening seketika. Aku memejamkan mata. Kala itu mutiara jernih bergenang di tubir mata.

          Tiap waktu bibirku sering menuturkan nama yang sama. Tiap waktu aku teringatkan insan yang sama. Tiap waktu wajah yang sama terlakar di minda. Tiap waktu. Hanya dia.

           Dan ketika itu air mata yang sedari tadi bergenang luruh ke pipi. Membuak-buak rasa sedih yang bertandang di hati.

            Ya Allah. Sungguh aku benci bila mana aku sering teringatkan dia. Seakan-akan memori fikiranku penuh dengan input-input tentang dia. Aku benci bila mana aku sering teringatkan dia yang belum halal bagiku. Sehingga terkadang aku tergoda dengan hasutan syaitan laknatullah. Sehingga terkadang aku terlupa akan Engkau. Terlupa akan kewajipanku sebagai hambaMu.

             Bantu aku Ya Allah. Kuatkan aku dari tergoda dengan hasutan syaitan. Jangan aku terlalu leka dengan perkara-perkara sebegini. Jangan aku terlalu memikirkan insan yang bukan mahramku.

             Jika betul dia lah jodoh yang telah Engkau kirimkan buatku.. 

             Jika betul dia lah bakal zauj ku, 

             bakal imam ku...

             Engkau permudahkanlah segala urusanku. Tenangkan jiwaku. Kuatkan diriku. Menempuh dugaanMu.

             Tangan menyeka air mata yang gugur di pipi. Nafas ditarik panjang untuk mengawal tangisan. Sudah hampir kering air mata yang mengalir. Hanya kesan sembap sahaja yang kelihatan di bawah mata.

             Allahu Allah. Sampaikan salam rinduku buat dia yang di sana agar dia mengetahui bahawa akulah insan yang selalu merindui kehadirannya..

             Sebahagian telekungku basah dek air mata yang menitis sejak tadi. Aku menekur memandang sejadah. Sebak. Tangan kanan ku letak di dada. Ku pejamkan mata seketika.

              Allah...

              Rindunya aku pada dia.



Labels:


new past